PERANG CANDU 2 ATAU PERANG ARROW
PENGENALAN
Pada tahun 1839-1842 berlaku peperangan antara British dengan China yang dikenali sebagai Perang Candu Pertama. Peperangan ini ditamatkan dengan termeterainya Perjanjian Nanking pada 29 Ogos 1842. Namun begitu, perjanjian Nanking hanya menamatkan peperangan tetapi tidak menyelesaikan masalah dalam hubungan antara China dan British. Hal ini menyebabkan hubungan antara mereka tetap runcing sehingga mengakibatkan peperangan yang kedua pada 1856-1860 yang dikenali sebagai Perang Candu Kedua atau Perang Arrow. Oleh itu, berikut meruapakan faktor-faktor yang menjadi pencetus kepada Perang Candu Kedua.
FAKTOR PENCETUS PERANG CANDU 2
1. KELEMAHAN PERJANJIAN NANKING
Kelemahan Perjanjian Nanking ini boleh dikatakan sebagai faktor utama yang mencetuskan peperangan antara China dengan British pada tahun 1856 sehinggga 1860. Perkara ini telah disokong oleh ahli sejarah seperti Fairbank, Paul H. Clyde dan Burton F.Beers. Hal ini dikatakan demikian kerana China enggan untuk mematuhi syarat-syarat Perjanjian Nanking sehingga British mengambil cara secara paksa untuk memaksa China patuh dan menuntut keistimewaan tambahan menyebabkan hubungan antara China dengan British menjadi tegang.
2. MASALAH AMOY DAN NINGPO
Antara perkara yang tidak dipatuhi membawa kepada banyak masalah salah satunya masalah Amoy dan Ningpo. Berdasarkan Perjanjian Nanking 1842 yang dimeterai, China telah membuka lima pelabuhannya kepada pedagang asing iaitu Canton, Foochow, Shanghai, Amoy dan Ningpo. Namun begitu, British telah mendapati bahawa pelabuhan Amoy dan Ningpo tidak sesuai untuk perkembangan kegiatan perdagangan mereka dan British menginginkan agar perdagangan mereka di seluruh China dan tidak tertumpu kepada lima pelabuhan itu sahaja. Oleh itu, British pun mendesak China agar membuka lebih banyak pelabuhan dan tidak dipersetujui oleh China kerana mereka sudah dilayan cukup istimewa namun keengganan China menyebabkan British memaksa untuk memenuhi tuntutan mereka kesannya menjadikan hubungan kedua–dua negara tersebut tegang.
3. MASALAH CANTON DAN FOOCHOW
Masalah kedua iaitu masalah Canton dan Foochow, pedagang asing masih dikenakan sekatan dan tekanan. Perkara ini disebabkan oleh anti-asing penduduk yang dipengaruhi oleh pegawai-pegawai sarjana yang merasai kepentingan mereka terjejas akibat kehadiran barat. Penduduk-penduduk tempatan telah memulaukan barang-barang barat. Selain itu, berlaku di Canton pada 1843 dan 1846 iaitu John Davies telah mengarahkan kapal perang British membedil Canton. Sebagai tindak balas, pihak China telah membunuh 6 orang rakyat British. Peristiwa ini sudah tentu meruncingkan hubungan antara China dengan British.
4. MASALAH CANDU
Seterusnya ialah masalah candu. Candu terus dibawa masuk ke negara China dengan kadar yang banyak sekitar 1843 sehingga 33000 peti. Hal ini menyebabkan China terjejas dari segi politik, ekonomi dan sosial. Dari segi politik, berlaku ketidakcekapan dalam pentadbiran, rasuah serta penyelewengan kerana ramai pegawai kerajaan telah menjadi penagih candu. Dari segi ekonomi, banyak wang China mengalir keluar kerana mengimport candu. Nilai import candu telah melebihi nilai eksport barang-barang lain. Keadaan ini sudah tentu memberi bebanan ekonomi kepada Kerajaan China. Dari segi sosial pula, timbul masalah kesihatan dan keruntuhan akhlak kerana ramai rakyat China yang menjadi penagih candu. Desakan China supaya British menghentikan perdagangan candu dan keengganan British mematuhi arahan China telah menegangkan hubungan antara mereka.
5. HUBUNGAN DIPLOMATIK
Seterusnya hubungan diplomatik, berdasarkan perjanjian Nanking, China bersetuju untuk mengadakan hubungan diplomatik dengan kuasa barat atas dasar sama taraf. Namun begitu, China tidak mempersetujuinya dan menganggap ia menjatuhkan maruha negara China. Hal ini kerana orang China anggap bahawa negara China sebagai Middle Kingdom atau Chung Kao yang bertamadun manakala orang asing sebagai Barbarian atau Fan Kwae iaitu hantu asing yang tidak bertamadun. Namun desakan Setiausaha Luar British iaitu Lord Palmerston Lord Palmerston telah mengutus surat kepada Maharaja Toa Kuang mendesak China untuk wujudkan hubungan diplomatik tapi tidak mendapat layanan dari pihak China. Maka ini salah satu penyebab tercetusnya Perang Candu.
6. PEMBUNUHAN AUGUSTIS CHAPDELINE
Seterusnya pembunuhan Augustis Chapdelaine iaitu mubaligh Perancis atas disebabkan oleh tuduhan mempengaruhi penduduk tempatan menentangkan pemerintahan Manchu. Prinsip Hak Wilayah Asingan telah dilanggar dalam Perjanjian Whampoa 1844. Kesannya, Perancis bersatu dengan British untuk memerangi China bertujuan mendapatkan tuntut bela atas kematian Augustus dan keistimewaan lain di China.
7. PERISTIWA ARROW
Faktor terakhir iaitu peristiwa Arrow. Kapal Arrow yang dimiliki oleh saudagar China dan nakhodanya orang British dan mengibarkan bendera Union Jack. Polis Peronda China telah mengarah Pesuruhjaya Tinggi Yeh Min Chen menangkap 12 daripada 14 anak kapalnya kerana terlibat dengan penyeludupan dan pelanunan pada 8 oktober 1856. Tindakan polis peronda China dianggap menjatuhkan British lebih-lebih lagi bendera “Union Jack” diturunkan. Sir John Bowring, gabenor Hongkong telah mengarahkan konsul British di Canton Harry Parkes mendesak Yeh Min Chen membebaskan anak kapal “Arrow” dan memohon maaf secara rasmi kepada British. Anak kapal Arrow dibebaskan tapi Yeh Min Chen tidak mahu memohon maaf. Maka perkara ini pencetus segera perang Candu kedua.
KESAN PERANG CANDU 2
Perang Candu Kedua berakhir pada tahun 1860 selepas tentera Inggeris-Perancis bersekutu menawan Peking dan membakar Istana Musim Panas Maharaja di Yuanmingyuan. China sekali lagi menerima tuntutan daripada negara-negara Barat dan menandatangani Perjanjian Beijing, yang memberikan negara-negara Barat hak selanjutnya dan mengukuhkan pengaruh mereka di China. Oleh itu, kekalahan China dalam Perang Candu memberi kesan kepada mereka secara tidak langsung.
1. POLITIK
Dari segi politik, China mula mewujudkan hubungan diplomatik atas dasar sama taraf dengan kuasa-kuasa barat. Sebagai contoh, Sejak tahun 1861, duta-duta asing mula ditempatkan di Peking. Antara mereka ialah Anson Burlingame (duta Amerika), Frederick Bruce (British), M. Buthemy (Perancis) dan De Balluseck (Rusia). Pada tahun 1866, dengan bantuan Robert Hart, satu perwakilan China yang diketuai oleh Pin Chun telah dihantar ke Eropah.
Kedua, lahirnya dua golongan masyarakat China iaitu pro barat dan anti barat. Golongan pro barat meniru idea-idea barat untuk dilaksanakan di negeri China manakala golongan anti barat menjalankan kegiatan menentang kegiatan orang barat serta pengaruh mereka di China. Sebagai contoh rumah kanak-kanak yatim Kristian di Tientsin diserang dan membunuh 20 orang termasuk 10 rahib wanita.
Ketiga, penglibatan orang barat dalam hal ehwal pentadbiran orang Cina. buktinya mereka dilantik membantu pentadbiran mengikut sistem pentadbiran Barat. Pegawai Barat telah diambil ramai bagi memodenkan politik ekonomi dan sosial China seperti Robert Hart, Horatio N. Lay dan W.A.P. Martin.
2. EKONOMI
Dari segi ekonomi, ia merugikan negara China seterusnya menguntungkan pihak British akibat daripada Perjanjian Tientsin dan Perjanjian Peking. Buktinya, China terpaksa membayar ganti rugi sebanyak 2 juta taels kepada kuasa barat yang terlibat dalam Perang Candu kedua. Selain itu, China juga menanggung perbelanjaan perang yang banyak. Kemasukan candu telah merugikan lagi pihak China. Di samping itu, China juga menjadi pasaran kepada barangan keluaran industri barat serta tempat untuk mendapatkan bahan mentah terutamanya teh dan sutera.
Kedua iaitu krisis ekonomi kerana kekalahan China dalam Perang Candu kedua. China perlu mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk menghadapi peperangan serta bayaran ganti rugi. Kemasukan barangan barat menjejaskan pasaran barangan tempatan. Kesannya banyak industri tempatan ditutup seterusnya krisis ekonomi berlaku.
3. SOSIAL
Dari segi sosial, perang Candu kedua menyedarkan China bahawa Barat adalah negara yang superior. China telah kalah ke atas kuasa barat selama 2 dekad. Oleh itu, China mula meniru teknik-teknik barat. buktinya, Tseng Kao Fan, Tso Tsung Tang dan Li Hung Chang telah meniru idea-idea barat dalam politik, ekonomi dan sosial untuk dilaksanakan dalam Rancangan Pembaharuan “Gerakan Memperkuatkan Diri 1864-1894”. Kedua, rakyat China ramai berhijrah ke seberang laut akibat daripada pihak British menjalankan perdagangan kuli bagi memenuhi tenaga buruh di Asia Tenggara. Ketiga, ramai penduduk China memeluk agama Krisitan kerana terpengaruh dengan budaya barat. Akhir sekali, perang Candu ini menjatuhkan maruah China kerana ia kekalahan kedua Manchu selama tempoh dua dekad. Buktinya, kerajaan Manchu telah kehilangan mandat untuk memerintah China sehinggan berlakunya pemberontakan seperti pemberontakan Taiping, Pemberontakan Nien dan Pemberontakan Muslim.
Kesimpulannya, dapat disimpulkan bahawa Perang Candu kedua ini disebabkan oleh keengganan China untuk mematuhi syarat Perjanjian Nangking serta desakan daripada kuasa barat yang menginginkan keistimewaan di China. Namun begitu, China mengalami kekalahan sehingga membawa banyak kesan kepada politik, ekonomi dan sosial di China.
Ulasan
Catat Ulasan