TEKNOLOGI PENDIDIKAN
DEFINISI
Teknologi pendidikan merupakan suatu kajian dan praktik untuk membantu proses belajar dan meningkatkan prestasi dengan membuat, menggunakan dan mengelola proses sumber teknologi secukupnya. Oleh itu, istilah teknologi pendidikan ini berhubung dengan teori belajar dan pembelajaran. Ia juga merupakan suatu penelitian dan aplikasi ilmu berkenaan dengan tingkah laku dan teori belajar dengan menggunakan pendekatan sistem untuk melakukan analisis, pengembangan, implementasi, evaluasi dan pengelolaan penggunaan teknologi untuk membantu memecahkan permasalahan belajar dan prestasi.
Menurut Crowell (1971), dalam Encyclopedia of Education "Teknologi pendidikan adalah suatu gabungan manusia, peralatan, teknik dan peristiwa yang bertujuan untuk memberi kesan baik kepada pendidikan” manakala menurut Uhwin Derek (1976) pula dalam Applying Educational Technology, teknologi dalam pendidikan ialah penggunaan kemahiran dan teknik moden dalam keperluan latihan yang meliputi kemudahan belajar dengan menggunakan persekitaraan yang boleh menimbulkan pembelajaran. Oleh itu, teknologi pendidikan merupakan satu sistem yang merangkumi alat dan bahan media, organisasi yang digunakan secara terancang untuk menghasilkan kecekapan dan keberkesanan dalam pengajaran dan pembelajaran.
KEPENTINGAN
Antara kepentingan teknologi pendidikan, dapat memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran oleh guru. Ia juga menjadikan guru menjadi lebih kreatif dan inovatif dalam menyediakan isi kandungan pengajaran dan pembelajaran menggunakan pelbagai kaedah seperti pendekatan pembelajaran, strategi pembelajaran dan penggunaan bahan bantu mengajar khususnya berdasarkan teknologi pendidikan. Antaranya, blended-learning iaitu suatu kaedah yang sesuai dilaksanakan semasa musim pandemik Covid-19 ini yang menyambungkan murid dan guru secara atas talian tanpa batasan jarak. Selalunya kaedah ini menggunakan aplikasi Webex, Google Meet, Zoom, Telegram dan Whatsapp untuk menyampaikan tujuan dan objektif pengajaran dan pembelajaran. Bukan itu sahaja, dengan adanya Frog VLE iaitu suatu sistem pembelajaran yang berasaskan laman web, guru-guru boleh memberikan nota, tugasan, ujian, dan markah secara maya manakala murid pula boleh menyiapkan tugasan dan menyemaknya. Manakala, ibu bapa juga turut serta untuk berkomunikasi dengan guru untuk mengetahui prestasi pembelajaran anak memandangkan tiada galakan untuk bersemuka akibat daripada pandemik Covid-19.
Selain itu, kepentingan teknologi pendidikan ini juga dapat menjimatkan masa guru dan murid lebih-lebih lagi semasa pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). Hal ini demikian kerana, guru yang mempunyai waktu yang padat boleh sahaja menggunakan pembelajaran secara asynchronous iaitu pengajaran secara rakaman yang boleh dimuatturun dan ditonton pada bila-bila masa sahaja. Manakala, murid atau pelajar yang mempunyai lambakan kerja kursus boleh mengakses video rakaman tersebut pada masa yang sesuai. Selalunya, rakaman pengajaran ini sering dimuatnaik ke laman portal e-learning institusi tertentu contohnya portal UUM dan portal USM begitu juga dengan FrogVLE yang boleh diakses pada bila-bila msa sahaja dengan adanya sambungan internet. Selain itu, PdPR dan penggunaan teknologi pendidikan ini bukan sahaja menjimatkan masa malahan ia boleh memudahkan para pelajar untuk mengaksess perpustakaan digital tanpa perlu keluar rumah. Menurut Association of Research Libraries (ARL), tujuan utama perpustakaan digital ini adalah untuk memberikan kelancaran dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang sistematik. Dengan adanya perpustakaan digital, pelajar dapat terus mengakses buku-buku dalam bentuk digital tanpa perlu ke perpustakaan. Ini menunjukkan teknologi pendidikan kini sangat menjimatkan masa pelajar sesuai dengan keadaan pembelajaran kini.
Dapat menjadi nilai tambah kepada kemahiran pelajar dalam penggunaan teknologi pendidikan. Akibat daripada PdPR, secara tidak langsung pelajar yang dulunya sukar menguasai pelbagai kaedah teknologi pendidikan semakin celik. Hal ini demikian kerana, pelajar akan berasa seronok mempelajari sesuatu yang baru yang memberi motivasi kepada mereka untuk meneroka inovasi teknologi pendidikan yanng seakan telah merangsang murid untuk belajar dengan lebih baik. Pelajar akan berasa lebih jelas tentang sesuatu konsep hasil daripada penerokaan ilmu teknologi serta pengalaman mereka melalui internet atau teknologi pendidikan yang lain.
Ulasan
Catat Ulasan